30 June, 2014

SERUAN ALLAH



Allah berseru kepada hambaNya:

"Wahai hamba! Engkau tidak memiliki sesuatu pun kecuali apa yg Aku kehendaki untuk menjadi milikmu. Tiada juga Engkau memiliki dirimu kerana Akulah Maha Penciptanya; tiada pula engkau memiliki jasadmu, maka Akulah yg membentuknya; hanya dengan pertolonganKu engkau dapat berdiri dan dengan 'kalimatKu' engkau datang kedunia ini"


"Wahai hamba! Katakanlah tiada Tuhan melainkan Allah, kemudian tegaklah berdiri dijalan yang benar, maka tiada Tuhan melainkan Aku. Dan tiada pula wujud yang sebenarnya wujud kecuali untukKu dan segala yang selain daripadaKu...adalah dari buatan tanganKu dan dari tiupan RohKu"


"Wahai hamba! Segala sesuatu adalah kepunyaanKu, bagiKu dan untukKu, jangan sekali-kali engkau merebut apa yang menjadi kepunyaanKu. Kembalikan segala sesuatu padaKu, nescaya akan Ku buahkan pengembalianmu dengan tanganKu dan Ku tambah padanya dengan kemurahanKu, nescaya Kuselamatkan engkau dari segala sesuatu. Ketahuilah bahawa hambaKu yang terpercaya, adalah yang mengembalikan segala yang selainKu kepadaKu. Tengoklah dengan pandangan tajam kepadaKu, bagaimana caraKu melakukan pembahagian, nescaya engkau akan melihat pemberian dan penolakan merupakan dua bentuk yang dinamakan agar dengan demikian engkau mengenalKu"


"Hai Hamba! Sesungguhnya engkau telah melihat Daku sebelum dunia terhampar dan engkau mengenal siapa yang engkau lihat. Dan kepadaKulah engkau akan kembali..

Kemudian Aku ciptakan segala sesuatu untukMu dan Aku labuhkan tirai(hijab) atasmu. Lalu engkau pun tertutup dengan tirai dirimu sendiri, kemudian Aku menghijab engkau dengan diri-diri yang lain, yang mana diri-diri yang lain itu menyeru kepadamu dan pada dirinya dan menjadi penghijab daripadaKu..
..Setelah kesemuanya itu, maka Akupun kembali menyata dibalik kesemuanya itu dan dari belakang kesemuanya itu Kuperlihatkan diriKu; Kukatakan kepadamu bahawasanya Akulah Maha Pencipta; Aku yang menciptakan kesemuanya itu dan bahawasanya Aku menjadikan engkau khalifah(pengurus yang berkuasa dibumi) atas kesemuanya itu dan ketahuilah bahawa kesemuanya itu adalah amanah(titipan) pada sisimu...Dan diharuskan kepada pemegang amanah itu untuk mengembalikannya...
..Maka teliltilah dirimu setelah engkau mempercayaiKu, sudahkah engkau mengembalikan segala sesuatu itu padaKu dan sudahkah engkau memenuhi perjanjian yang telah engkau buat denganKu?"


       "Dan barangsiapa menepati janjinya kepada ALlah, maka Allah akan memberinya pahala yang besar"

                                                                                                          ( Al-Fath:10 )

       "Dan sesungguhnya Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa akan perintah itu dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat."

                                                                                                          ( Thaha: 115 )


"Hai hambaKu! Kuciptakan segala sesuatu itu untukmu maka bagaimana Aku akan rela kalau engkau peruntukkan dirimu bagi sesuatu itu.Sesungguhnya Aku melarang engkau untuk menggantungkan dirimu pada sesuatu(selainKu) kerana Aku adalah pencemburu padamu".


"Hai hamba! Aku tidak rela engkau peruntukkan dirimu bagi sesuatu, walau harapanmu akan syurga sekalipun kerana sesungguhnya Aku ciptakan engkau hanya untukKu; supaya engkau berada disisiKu; Di sisi yang tiada sisi dan di mana yang tiada mana. Kuciptakan engkau atas pola gambaranKu seorang diri, tunggal, mendengar, melihat dan berkemahuan serta berbicara. Dan Aku jadikan engkau mempunyai kemampuan untuk tajallinya(menyatanya) nama-namaKu.....dan tempat untuk pemeliharaanKu".


"Engkau adalah sasaran pandanganKu.....tiada dinding penghalang yang memisahkan antaraKu dan antaramu. Engkau teman duduk semajlis denganKu, maka tiada pembatas antaraKu dan antaramu".


'Hai hamba! Tiada antaraKu dan antaramu, antara Aku lebih dekat kepadamu dari dirimu sendiri; Aku lebih dekat kepadamu dari ucapan lisanmu, maka pandanglah kepadaKu kerana Aku senang memandang kepadamu". 




Bismillah....
Assalamu 'alaikum...


Syukurku panjatkan pada Allah yang memberi ilmu padaku pagi ini. Menitis airmata bila ku tahu bahawa Tuhanku senang memandangku walaupun aku hambaNya yang setiap saat melakukan dosa. Kini, aku serahkan diri ini padaNya. Walaupun terkadang ingat terkadang lupa.




Ku kongsikan pada kalian, moga kalian membacanya dengan hati yang suci agar kita tak lupa pada pencipta kita. Walaupun berat untuk diterima aqal, gunakan hati itu seluas-luasnya untuk memahami..dan mintalah pertolongan padaNya untuk memahami. Ketahuilah andai tidak mengalir airmata kalian ketika membacanya maka hatimu itu keras. Maka mintalah juga padaNya. Sesungguhnya Dia Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. 



~jasjuta

29 June, 2014

AMALAN YANG LEBIH UTAMA



Bismillah....
Assalamu 'alaikum semua


Suatu peristiwa datanglah seorang sahabat Nabi s.a.w mengajukan pertanyaan:

Sahabat: Wahai Rasulullah, apakah amalah yang lebih utama?


Raslullah: Ilmu pengetahuan mengenai Allah!

Sahabat: Ilmu apa yang tuan maksudkan?

Rasulullah: Ilmu pengetahuan mengenai Allah

Sahabat itu rupanya menyangka Rasulullah salah faham, lalu ditegaskannya.

Sahabat: Wahai Rasulullah! kami bertanya tentang amalan, sedangkan Tuan menjawab mengenai ilmu

Rasulullah: Sesungguhnya sedikit amalan akan berfaedah bila disertai dengan ilmu mengenai Allah, dan banyak amalan tidak akan bermanfaat bila disertai dengan kejahilan mengenai Allah





~~ kisah ini memberi dorongan kepada kita untuk mempelajari, mengkaji dan memdalami ilmu pengetahuan mengenai Allah. Marilah kita sama-sama mempelajari untuk mengenal Allah kerana 'tahu tentang Allah' tidak sama dengan maksud 'kenal Allah'


Renung kembali.

28 June, 2014

SERAWA DURIAN

Bismillah......
Assalamu 'alaikum...

Mari berjalan bersama Maklang
Jalan mencari bunga kemboja
Makan serawa duka pun hilang
Tersenyum manis bila berkerja

Semalam berkesempatan masak serawa durian dan pulut. Bagi kengkawan makan kat opis. Memang fevret kengkawan termasuk saya.
Nak resepi?
Alaaaa...mudah jer nak masak. Takper, saya bagi juga resepi cara saya masak.

SERAWA DURIAN

1 biji kelapa(blend pastu perah-2x)
2 ketul gula kerek @ 1 sudu besar gula merah
gula pasir
garam
2 helai daun pandan (ni saiz kecil)
Durian 2 biji.....perghhhh mmg pekat durian, bukan pekat santan...hehe

Cara masak

Masukkn semua bahan. Bila mendidih baru masuk durian. Masakkn dalam 5 minit..tutup api. Durian tu boleh jugak masuk awal cuma nanti isi durian hancur sebati ngan santan. Kalau masuk last last...ada la isi lagi.
Pulut tu tanak cam biasa..takyah pakai santan..air biasa jer..agak-agak letak tapak tangan atas beras pulut dan air tenggelam jari....cukup la. Pulut buat 2 pot dahhhh....sebab serawa durian tu boleh makan cicah ngan roti jugak. Pastikan api sederhana kecil bila masak pulut.


                                                   Serawa durian



                                                   Pulut



27 June, 2014

Belajar Kitab Addurunnafis

Bismillah...
Assalamu 'alaikum..

Semalam saya tunaikan solat zohor di surau kat bangunan menara Maybank. Kebetulan ada kuliah zohor kat situ. Dapatlah dengar sikit ilmu yg disampaikan.


Bila nak selesai, ustaz tu umumkan pada sesiapa yg berminat untuk mempelajari kitab Ad-durunnafis (permata yang ind ah)....ilmu ketuhanan.. boleh ikut tinggal percuma selama sebulan bulan puasa ni dipondok Maahad Tahfiz Qiam..di Batu Hampar, Perak. Yang bestnyer percuma tuuuu....belajar kitab sebulan duk kat pondok. Hmmm..tapi bukan rezeki saya sebab saya bukan bujang. Ada tanggungjawab pada keluarga.


                                                    Kitab Addurunnafis

Apa bestnyer belajar kitab ni? 

Best sangat sebab kebanyakan kita Melayu beragama Islam tp Islam sebab keturunan. Adapun kita belajar dari kecil tentang serba ringkas apa itu rukun iman dan rukun Islam. Kita tak didedahkan banyak tentang pengenalan pada Tuhan yang mencipta semesta 'alam. Senang citer, kita tak 'kenal' Allah. Bila tak 'kenal' Allah, tiadalah ihsan dihati. Bila tiada ihsan dihati, mudahlah kita terjerumus dalam dosa. Hanya Dia yang Maha Tahu...saya pun baru belajar. 


Jadi, peluang ni saya war-warkan kat sini...kot kot ada yg mencari nak belajar kitab ni.


Tapi call dulu ustaz tu, ntuk pertanyaan. Kot-kot saya salah dengar...hehe..mintak maaf la yer






Wallahu 'alam



~jasjuta

25 June, 2014

JADUAL HARIAN AKTIVITI IBADAH BULAN PUASA




Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu 'alaikum
Wah! Lagi 3 hari nak puasa Ramadhan. Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan...
Merancang lagi untuk penuhkan aktiviti ibadah seharian. Hehehehe...untuk ku yg bekerja bebas. Bagi yang bekerja makan gaji dan nak ikut aktiviti ibadah ni, pandai2 la adjust masa yer....jangan sampai curi waktu bekerja.



حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ *

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang melakukan sembahyang malam pada bulan Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu * (Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
 
3.30 PAGI
1. Bangun tidur dan baca doa.
2. Niat untuk buat sebanyak mungkin kebaikan pada hari ini.
3. Mandi dan bersihkan diri.
4. Ambil wudhu' dan pakai baju yang bersih dan wangi2an.
 
3.45 PAGI
1. Solat sunat Taubat (2 rakaat).
    - Doa dgn tawadhuk mohon ampun pada ALLAH. Menangis byk2 atas sbb menyesali dosa-dosa
      lalu.
2. Solat sunat Tahajjud (2 rakaat).
    - Lepas salam, doa lagi pada ALLAH.
3. Solat sunat Hajat (2 rakaat).
    -Ketika sujud terakhir sertakan dalam hati segala hajat ‘DUNIAWI & UKHRAWI.
4. Solat sunat Witir (3 rakaat).
5. Munajat dan tafakur mengingati mati(baru feel takut nak buat dosa disiang hari)
6. Baca dan tadabbur al- Quran(baca makna, faham dan amalkan).
 
4.45 PAGI
1. Panaskan lauk dan sediakan hidangan 
 
5.15 PAGI
1. Makan sahur
2. Bersiwak atau gosok gigi dan bersihkan mulut.
 
5.30 PAGI
1. Siap tunggu Subuh dgn baca Al-Quran atau berselawat/berzikir.
2. Solat sunat Subuh, solat Subuh berjemaah dan berwirid atau baca ma’thurat.
3. Baca dan tadabbur al-Quran.
 
6.30 PAGI
1. Siapkan anak ke sekolah
2. Pergi kerja

8.30 PAGI
1. Solat sunat Dhuha 2/4 rakaat.
2. Bersedekah harta/tenaga.
3. Baca dan tadabbur al-Quran....agak2 5 ayat pun cukup...janji faham dan amalkan.
 
12.45 tengahari
1. Bersiap untuk solat Zohor.
2. Tunggu waktu solat dgn berselawat/berzikir
3. Solat Zohor berjemaah.
4. Buat juga solat sunat Rawatib.
5. Baca dan tadabbur al-Quran.
 
4.00 PETANG
1. Bersedia untuk solat Asar.
2. Buat solat sunat Qabliyah.
3. Solat Asar berjemaah.
4. Wirid atau membaca ma’thurat.
5. Baca dan tadabbur al-Quran.
 
5.30 PETANG
1. Masak untuk berbuka atau beli keperluan berbuka dan sahur..jgn berlebih-lebih, jgn membazir dan
    jgn boros
2. INGAT!! Walaupun Syaitan dirantai, nafsu tetap ada dalam diri kita...silap2 perangai kita lebih
    teruk daripada syaitan...Na 'uzubillah
 
7.00 PETANG
1. Siap sedia untuk berbuka puasa.
2. Banyakkan doa sebelum berbuka sebab waktu itu adalah saat mustajab berdoa.
3. Berbuka dengan makanan yang manis macam buah kurma dan jangan makan terlalu
    banyak...senak nnti...dahhhh susah nk solat.
4. Solat maghrib berjemaah.
 
8.00 MALAM
1. Solat Isya' berjemaah dan teruskan dengan solat Tarawih
2. Baca Al-Quran dengan penuh tadabbur, seeloknya baca dengan bertadarus (seorang baca, yang lain
    menyemaknya), cuba khatam-kan Al-Quran.
 
10.30 MALAM
1. Banyakkan istighfar sebelum tidur.
2. Niat untuk puasa esok hari .
3. Tidur awal pasal esok mudah bangun awal untuk beribadah...ni pun cukupla 5 jam waktu tidur.
4. Baca doa tidur.
5. INGAT! tidur adalah mati yang sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur.
6. Apa!! TV??.......cuti la dulu...hehehe..bulan ni la nak cuba "didik hati tunduk nafsu".. jaga semua
    pancaindera.
 
SEMOGA DAPAT MENJALANI IBADAH PUASA TAHUN NI DENGAN LEBIH BAIK DARI TAHUN-TAHUN YANG LALU.
 
Dan mendapat apa yang dijanjikan oleh Allah sekiranya berpuasa dengan sempurna iaitu KEAMPUNAN DOSA dan BEBAS DARI NERAKA.


~jasjuta
 
 



24 June, 2014

Alhamdulillah wasyukurillah

Anak Acheh ke Pulau Paya
Pergi membeli buah bidara

Alhamdulillah, syukur pada Yg Esa
Blog saya sudah tercipta

Buah bidara manis isinya
Makan bersama putera raja
Tertunduk patuh bila tercipta
Kerana Dia Yang Maha Pencipta

Putera raja makan berselera
Hingga lupa ayah dan bonda
Kerana Dia ku isi segala
Moga bermanfaat kita bersama