17 November, 2015

WAHAI ANAK-ANAK IBU! IKUTLAH JALAN YANG LURUS






Bismillah...
Assalamu 'alaikum..



Wahai anak-anak ibu! Ketahuilah olehmu bahawa kasihsayang ibu tak pernah padam biarpun kau tiada didepan mata. Kasihsayang ibu sentiasa hadir bersama redha dalam setiap nafas yang sentiasa kau hirup. 


Wahai anak-anak ibu! Pergilah kau berjihad dalam menuntut ilmu sejauh mana pun dan ingin ibu berpesan agar sentiasalah kau berjalan dijalan yang LURUS.

Al-Fātiĥah:1 - Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Al-Fātiĥah:2 - Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Al-Fātiĥah:3 - Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Al-Fātiĥah:4 - Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
Al-Fātiĥah:5 - Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Al-Fātiĥah:6 - Tunjukilah kami jalan yang LURUS.
Al-Fātiĥah:7 - Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan NIKMAT kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


Wahai anak-anak ibu! Sejak dari kanak-kanak lagi telah pun kau pelajari dan kau mengulag-ulang membaca Al-Fatihah dalam solatmu hingga bertahun-tahun lamanya memohon agar ditunjuki jalan yang LURUS itu. Tahukah kau apakah jalan yang LURUS itu? Ya anak-anakku! Itulah jalan yang Allah telah berikan NIKMAT kepada mereka. Tapi siapakah mereka itu? Firman Allah:

  • An-Nisā':69 - Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan NIKMAT oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang Soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).


Wahai anak-anak ibu! Itulah jalan para Nabi-Nabi, para Siddiqiin, orang-orang Syahid dan orang-orang yang Soleh. Merekalah yang telah menerima NIKMAT dari Allah. Tapi jalan LURUS yang bagaimana mereka lalui itu? 



  • Maryam:36 - Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu maka sembahlah kamu akan Dia, inilah jalan yang betul - LURUS ". 
  • Ţāhā:14 - "Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku"
  • Yaasin:61 - "Dan (Aku perintahkan) hendaklah kamu menyembahKu; Inilah jalan yang LURUS" 



Wahai anak-anak ibu! Itulah jalan yang LURUS, yang mana engkau ikut bertauhid mengEsakan Allah dan bersolat mengingatiNya sepertimana yang telah diwajibkan keatasmu. Tiada jalan lain yang terindah dan selamat melainkan inilah jalan yang memberikan kebahagian untukmu didunia dan diakhirat.


Wahai anak-anak ibu! Janganlah kamu mengikuti jalan orang-orang yang Allah murkai dan jalan orang-orang yang sesat. Ingatlah bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang berada disegenap penjuru dirimu. Dia telah berjanji dengan Tuhanmu untuk menyesatkanmu maka sentiasalah juga kamu memohon bantuan dan perlindungan daripada Tuhanmu. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang dan Dia jugalah Yang Maha Mengetahui akan segala sesuatu.

  • Al-'A`rāf:16 - Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang LURUS;


  • Al-'A`rāf:17 - "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".


  •  Al-Ĥijr:39 - Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,


  •  Al-Ĥijr:40 - "Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik(mukhlis)".


  •  Al-Ĥijr:41 - Allah berfirman: "Inilah satu jalan yang LURUS, yang tetap Aku memeliharanya.



Wahai anak-anak ibu! Amir Imran, Ahmad Adib, Adi Irsyad dan 'Aina 'Aqilah...Ingatlah pesan ibu. Ibu sentiasa mendoakan agar Allah pelihara dirimu sepertimana Allah pelihara orang-orang yang soleh dan masukkan kalian dalam golongan hamba-hambaNya yang mukhlis. 
Amiin Ya Rabbal 'Alamiin...






No comments:

Post a Comment